Definisi
Perkataan teknologi berasal daripada bahasa Yunani, “techne” yang bermakna kemahiran menggunakan pengetahuan secara sistematik sehingga terbit satu amalan yang praktikal bagi melaksanakan sesuatu tugas. Teknologi bukan semata-mata alat dan mesin sahaja. Ia merangkumi proses dan idea. Kekuatan teknologi terletak terutamanya pada proses dan idea, manakala kejayaan untuk mencapai sesuatu maksud atau objektif terletak pada alat.
Naim Hj. Ahmad (1990) mendefinisikan teknologi pendidikan sebagai satu perkaedahan atau pendekatan yang memadukan secara harmonis, fungsi-fungsi pengurusan (organisasi dan personel), pengembangan (penyelidikan, teori reka bentuk, penerbitan, penilaian, pemilihan, logistik, penggunaan dan penyebaran dan sumber ( mesej, manusia, bahan, alat, teknik dan cara penyediaan secara sistematik untuk penyelesaian kepada masalah-masalah yang dihadapi dalam pengajaran dan pembelajaran manusia.
Yusuf Hashim (1997), teknologi pendidikan ialah satu proses merancang, membina, mereka bentuk, melaksana dan menilai aktiviti-aktiviti pembelajaran secara sistematik dengan tujuan meningkatkan serta memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran. Keadaan pelajar juga ditekankan sebagai sebahagian daripada teknologi pendidikan kerana hal ini boleh mempengaruhi keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.
Persatuan Komunikasi dan Teknologi Pendidikan (AECT) berpendapat bahawa teknologi pendidikan ialah satu bidang yang terlibat dalam kemudahan menyediakan pembelajaran untuk manusia menerusi pengenalpastian, penyusunan, penggunaan dan pengurusan sumber yang sedia wujud, pengurusan proses dan manusia yang terlibat melakukannya.
Kesimpulan
Teknologi pendidikan ialah satu sistem yang meliputi alat dan bahan media, organisasi yang digunakan secara terancang bagi menghasilkan kecekapan dalam pengajaran dan keberkesanan dalam pembelajaran
No comments:
Post a Comment